Wednesday, March 10, 2010

TABIAT MENUNDING JARI PADA ORANG LAIN..

Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus? Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.

Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul? Macamana aku tak timbul, Rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,

Kenapa engkau panjang sangat?

Macamana aku tak panjang,

Kerbau tak makan aku.

Katak oh katak,

Kenapa panggil hujan?

Macamana aku tak panggil,

Ular nak makan aku.

Ular oh ular,

Mengapa nak makan katak?

Macamana aku tak makan.

Memang makanan aku.

Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu monotonous itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.

Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk pesalah yang suka menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat.

Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.

Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.

Secara sinisnya, bangau hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.

Dalam masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat dua golongan iaitu golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan reaktif ialah golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan pengaruh orang lain. Jarang dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas ia menyalahkan ibu-bapanya.

Jika ditanyakan kepada sianak, mengapa awak jadi begini?

Dia pun menjawab, Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya yang salah!

Manakala apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas mereka pula menjawab, Ini bukan salah kami tetapi ini salah guru.

Begitulah seterusnya.

Masing-masing melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh orang lain yang tidak boleh dikawal. Kalau begini, sampai bila-bilapun masalah tidak akan selesai. Inilah bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial dikalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain.

Lawan kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif maksudnya apabila ia berhadapan dengan sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan menumpukan kepada apa yang dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang mampu dikawalnya. Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah. Jika kita mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang lain. Sikap lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain untuk mengubah diri kita. Orang yang proaktif ialah orang yang punya keyakinan diri, disiplin diri dan self- esteem (harga diri) yang tinggi. Ia bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu mengawal orang lain. Manakala orang yang reaktif pula ialah orang yang dicorakkan oleh keadaan. Ke mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan setiap masalah.

Dalam kes masalah sosial remaja setiap pihak hendaklah bersikap proaktif. Budaya bangau oh bangau hendaklah dihentikan. Sebagai manusia yang telah akil baligh, yakni berfikiran waras, remaja tidak seharusnya terus menyalahkan ibu-bapa atas kesilapan dan kesalahannya. Firman Allah swt:

Apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah! Maka jawab mereka: Tetapi kami mengikt apa-apa yang kami perolehi dari bapa-bapa kami. Meskipun bapa-bapa mereka itu tiada memikirkan suatu apapun dan tiada pula mendapat petunjuk.

(Surah Al-Baqarah: 170)

Sekalipun, ibu-bapa tidak memainkan peranan yang betul, maka dengan fikiran dan ilmu yang didapati dari sekolah dan masyarakat para remaja sudah sewajarnya mampu menilai dirinya sendiri. Mereka adalah pemandu pada kereta kehidupan mereka. Jika berlanggar jangan salahkan ibu-bapa, tapi salahkan diri sendiri. Dan tindakan selanjutnya ialah belajar lebih gigih agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Manakala bagi pihak ibu-bapa pula, janganlah terus menyalahkan guru atau masyarakat. Sebagai individu yang terapat dengan para remaja, tentulah pengaruh mereka lebih besar daripada mana-mana pihak dalam membentuk keperibadian anak-anak. Anak kita adalah hak kita dan Allah telah menetapkan bahawa kita adalah pencorak utama kepada akhlak mereka. Lupakah ibu-bapa kepada firman Allah ini:

Anak-anak dilahirkan suci bersih, kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.

Jadi ibu-bapa yang baik tidak akan menyalahkan guru, masyarakat dan kerajaan atas kerosakan anak mereka. Sebaliknya, mereka akan memperbaiki diri dan mula mendidik anak mereka dengan terlebih dahulu mendidik diri sendiri!

Begitulah juga masyarakat, pihak sekolah, para pemimpin masing-masing hendaklah melihat dan bercermin pada hati nurani masing-masing. Apa akan jadi jika pemimpin menyalahkan rakyat dan rakyat pula menyalahkan pemimpin? Ingat-ingatlah, kita bukan bangau, kerbau atau ikan yang tidak punya akal fikiran. Allah sendiri mengiktiraf hak dan pilihan individu, maka atas dasar itu masing-masing akan ditanya mengikut peranan, kemampuan dan tanggung-jawab masing-masing. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, hatta menyalahkan syaitan sekalipun! Jika kita terpedaya akan tipu-dayanya itu bukan salahnya, tetapi itu adalah salah kita Kenapa kita boleh ditipu? Rasulullah saw bersabda:

Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin), dan setiap pengembala akan ditanya akan gembalaannya.

Terdapat juga segolongan masyarakat yang tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekelilingnya. Golongan ini bersikap in-aktif yakni tidak ambil kisah atau tidak mahu ambil tahu langsung tentang apa yang berlaku dalam masyarakat. Katakanlah, jika dia melihat masalah remaja, dia mungkin kata, Biarkanlah, asalkan jangan terkena pada anak aku. Dia lebih rela bersikap tidak apa dengan apa yang telah berlaku. Hatinya buta, tidak prihatin dan tidak sensitif. Dia hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja. Dia akan tercabar hanya apabila ada orang yang mengganggu tepi kainnya. Katakanlah, jika berlaku sesuatu tragedi buruk, dia akan berkata, Itu di negeri lain, bukan di negeri aku. Jika berlaku di negerinya, dia akan kata, Itu di negeri lain, bukan kampungku. Apabila terjadi di kampungnya, dia boleh kata, itu di kampung sebelah utara, saya kampung sebelah selatan. Bila dia sedar? Apabila terkena batang hidungnya, barulah dia tersentak dan meminta pertolongan orang lain. Individu yang in-aktif ini tidak sedar bahawa hakikatnya manusia umpama penumpang sebuah kapal yang besar, yang mana kebocoran di mana-mana tempat akan menenggelamkan seluruh kapal jika kebocoran itu tidak ditampal bersama-sama. Sikap in-aktif sebahagian masyarakat ini mengingatkan kita pada ungkapan Siluncai terjun dengan labu-labunya biarkan, biarkan.

Akhir sekali, bagi mengatasi masalah budaya reaktif Bangau oh bangau dan sikap in-aktif Siluncai terjun dengan labu-labunya maka kita perlulah bersikap berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Berani menanggung risiko akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan kemudian berani pula untuk memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap kita terhadap sesuatu perkara.

Kedua, kita perlu tahu akan kekuatan-kekuatan yang ada pada diri. Kita yakin pada kekuatan itu dan menambah serta mempertingkatkannya dari semasa ke semasa. Yakinlah setiap insan dilahirkan dengan keistimewaan masing-masing. Kita adalah unik dan terbaik dalam bidang-bidang tertentu. Kenali bidang itu dan terokailah dengan yakin. Bukankah bangau punya tengkuk yang panjang dan ikan mempunyai ketangkasan berenang dan menyelam? Dan dengan tengkuk yang panjang bangau boleh menyusup ke celah-celah rumput yang panjang dan dengan ketangkasan berenang dan menyelam ikan boleh timbul ke permukaan. Lihat pada apa yang ada, barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur

No comments:

Post a Comment