Wednesday, March 10, 2010

Riwayat Malin Kundang

Malin Kundang merupakan sebuah cerita rakyat yang mengisahkan tentang Malin Kundang, adalah anak tunggal sepasang suami isteri nelayan di Desa Air Manis, Sumatra Barat, Indonesia.

Kisah Malin Kundang

Sebelum lahir, Malim ditinggalkan ayahnya yang tidak pernah balik ke desanya dan setelah dia dilahirkan terpaksa dipelihara oleh ibunya dengan keadaan hidup yang penuh penderitaan.

Setelah dewasa Malim meminta keizinan daripada ibunya untuk pergi merantau dengan dibekalkan nasi bungkus daun pisang.Sejak pemergian itu, ibu Malim tidak pernah mendengar khabar berita tentang anaknya itu hingga bertahun-tahun lamanya, sehingga usia ibu itu semakin lanjut dan bongkok dan akhirnya ibu tua itu mendapat berita daripada nakhoda kapal yang dahulu membawa Malim mengatakan anaknya telah berkahwin dengan seorang gadis jelita anak seorang bangsawan yang amat kaya.

Kepulangan Malin Kundang

Setelah sekian lama menunggu kepulangan Malin, akhirnya pada satu hari sebuah kapal besar yang cantik belayar menuju ke pantai Desa Air Manis. Dalam kemeriahan penduduk Desa Air Manis menyambut ketibaan kapal itu, ternampak seorang anak muda berdiri di anjung kapal, ibu tua percaya anak muda itu adalah anaknya Malin Kundang.

Ibu tua itu memanggil anaknya tetapi isteri Malim yang jelita telah meludahnya. Disebabkan terlalu malu kepada isterinya, Malin terus menendang ibunya. Selepas itu Malin bersama isterinya terus belayar dengan kapalnya meninggalkan Desa Air Manis dan setelah melihat kapal kenaikan anaknya semakin jauh di tengah laut, orang tua itu terlalu sedih atas perbuatan anaknya.

Sumpahan Ibu Malin Kundang

Dengan linangan air mata, akhirnya dia menadah tangan ke langit sambil berseru dengan hati yang amat sedih dan pilu kepada Tuhanku, kalau memang benar dia Malim Kundang, dia sumpah menjadi batu.

Tidak lama kemudian, tiba-tiba datanglah angin kencang dengan ombak besar bergulung-gulung hingga larut malam dan apabila matahari pagi memancar sinarnya, di kaki bukit di pinggir Desa Air Manis ternampak kepingan kapal yang telah menjadi batu. Hingga kini batu Malin Kundang di pinggir bukit Desa Air Manis terus menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara dan bukit Desa Air Manis menjadi saksi peristiwa tersebut.

TABIAT MENUNDING JARI PADA ORANG LAIN..

Bangau oh bangau, Mengapa engkau kurus? Macamana aku tak kurus, Ikan tidak timbul.

Ikan oh ikan, Mengapa kau tak timbul? Macamana aku tak timbul, Rumput panjang sangat.

Rumput oh rumput,

Kenapa engkau panjang sangat?

Macamana aku tak panjang,

Kerbau tak makan aku.

Katak oh katak,

Kenapa panggil hujan?

Macamana aku tak panggil,

Ular nak makan aku.

Ular oh ular,

Mengapa nak makan katak?

Macamana aku tak makan.

Memang makanan aku.

Ini adalah sebuah cerita yang telah disampaikan secara tradisi dalam bentuk lagu kanak-kanak. Ia berpindah dari satu generasi ke satu generasi hinggalah kini. Apabila mendengar bait-bait lagu ini, terasa ada lucunya. Rentak lagu monotonous itu memang menarik dan mudah menjadi hafalan kanak-kanak. Walaupun ianya lucu dan menghiburkan, namun bait-bait lagu ini mengandungi unsur sindiran yang sangat tajam, khusus buat sekumpulan masyarakat yang suka salah-menyalahkan orang lain. Masing-masing menuding jari kerana hendak berlepas diri daripada dipersalahkan.

Mengapakah lagu ini mengambil binatang-binatang seperti bangau, ikan dan katak sebagai pesalah? Begitu juga dengan alam semula jadi seperti rumput, hujan dan nasi? Mengapakah ia tidak menggunakan manusia sebagai karektornya? Adakah pencipta lagu ini juga termasuk pesalah yang suka menyalahkan orang lain sehingga meletakkan pesalahnya kepada tumbuhan dan haiwan? Mungkin agaknya beliau hendak menjaga hati manusia, maklumlah justeru terdapat ramai manusia yang begitu sensitif bila ditegur dan tidak mahu mengaku pula kesalahan yang dibuat.

Lagu ini mengisahkan bangau, rumput, kayu, hujan dan lain-lainnya, yang masing-masing menyalahkan satu sama lain apabila terdapat kelemahan pada diri sendiri. Sikap salah-menyalahkan itu bermula daripada bangau sehinggalah berhenti kepada ular. Ular sahaja yang mengaku kesalahannya. Jika tidak, ada kemungkinan lagu atau kisah ini akan meleret-leret panjangnya. Pastinya, sikap salah-menyalahkan ini akan berterusan dan masalah tidak akan selesai.

Iktibarnya, kisah ini mengajar kita apabila berlaku satu masalah dalam masyarakat, setiap individu dari sekecil-kecilnya sehinggalah ke sebesar-besarnya (sama ada dari segi kedudukan atau pengaruh) sewajarnya melihat keupayaan, kelemahan, peranan, kemampuan serta upaya bertindak masing-masing. Tegasnya, setiap kita hendaklah melihat diri sendiri dahulu sebelum sewenang-wenangnya menuding jari. Kita perlu mencari apa yang salah, bukannya siapa yang salah. Apakah yang salah dan apakah sumbangan kita untuk menyelesaikan masalah tersebut? Walaupun masalah itu kecil, kita perlu membuat penyelesaian yang terbaik mengikut kemampuan dan pada lingkungan pengaruh kita. Ubahlah dan betulkanlah diri dahulu maka barulah kita akan berjaya membetulkan orang lain.

Secara sinisnya, bangau hendaklah belajar menangkap ikan dalam keadaan rumput yang panjang kerana itu memang kerjanya. Jangan salahkan rumput yang panjang! Sepatutnya kalau ditanya, Oh bangau, kenapa kau kurus? Bangau tak sepatutnya menyalahkan ikan tak timbul. Bukannya ikan yang perlu datang sendiri kepadanya. Bangau sendiri yang patut berusaha mendapatkan ikan itu. Begitu juga bagi lembu yang sakit perut, jangan disalahkan nasi yang mentah, kerana itulah risiko yang terpaksa ditanggungnya apabila makan tanpa usul periksa.

Dalam masyarakat apabila berhadapan dengan masalah, terdapat dua golongan iaitu golongan yang proaktif dan golongan yang reaktif. Golongan reaktif ialah golongan yang apabila berhadapan dengan masalah sering menyalahkan orang lain. Dan dia suka menumpukan masalah kepada lingkungan pengaruh orang lain. Jarang dia mahu memfokus pada lingkungan pengaruhnya. Misalnya apabila seseorang anak itu ditangkap kerana sesuatu masalah yang dilakukannya maka dengan pantas ia menyalahkan ibu-bapanya.

Jika ditanyakan kepada sianak, mengapa awak jadi begini?

Dia pun menjawab, Ini bukan salah saya. Ayah dan ibu saya yang salah!

Manakala apabila ditanya kepada ibu-bapanya pula, lantas mereka pula menjawab, Ini bukan salah kami tetapi ini salah guru.

Begitulah seterusnya.

Masing-masing melihat dan berlegar dalam lingkungan pengaruh orang lain yang tidak boleh dikawal. Kalau begini, sampai bila-bilapun masalah tidak akan selesai. Inilah bahana budaya menuding jari. Kenapa jadi bodoh, guru tidak pandai mengajar. Kenapa malas, sebab orang lain pun malas juga. Inilah sifat orang yang reaktif. Dan inilah yang sedang membudaya dalam masyarakat kita. Lihat sahaja masalah sosial dikalangan remaja, masing-masing menuding jari kepada orang lain.

Lawan kepada sikap reaktif ialah proaktif. Proaktif maksudnya apabila ia berhadapan dengan sesuatu masalah, berdepan dengan suatu peluang, dia akan menumpukan kepada apa yang dia boleh buat. Yakni dalam lingkungan pengaruh yang mampu dikawalnya. Walaupun pengaruh itu kecil, lama kelamaan ia akan bertambah. Jika kita mengubah diri kita, maka perubahan itu akan mampu mengubah orang lain. Sikap lebih berkesan daripada cakap. Jangan harapkan perubahan orang lain untuk mengubah diri kita. Orang yang proaktif ialah orang yang punya keyakinan diri, disiplin diri dan self- esteem (harga diri) yang tinggi. Ia bukan sahaja mampu mengawal diri bahkan akan mampu mengawal orang lain. Manakala orang yang reaktif pula ialah orang yang dicorakkan oleh keadaan. Ke mana dia pergi, dia akan dicorakkan kerana tiada kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan setiap masalah.

Dalam kes masalah sosial remaja setiap pihak hendaklah bersikap proaktif. Budaya bangau oh bangau hendaklah dihentikan. Sebagai manusia yang telah akil baligh, yakni berfikiran waras, remaja tidak seharusnya terus menyalahkan ibu-bapa atas kesilapan dan kesalahannya. Firman Allah swt:

Apabila dikatakan kepada mereka: Ikutilah apa-apa yang diturunkan Allah! Maka jawab mereka: Tetapi kami mengikt apa-apa yang kami perolehi dari bapa-bapa kami. Meskipun bapa-bapa mereka itu tiada memikirkan suatu apapun dan tiada pula mendapat petunjuk.

(Surah Al-Baqarah: 170)

Sekalipun, ibu-bapa tidak memainkan peranan yang betul, maka dengan fikiran dan ilmu yang didapati dari sekolah dan masyarakat para remaja sudah sewajarnya mampu menilai dirinya sendiri. Mereka adalah pemandu pada kereta kehidupan mereka. Jika berlanggar jangan salahkan ibu-bapa, tapi salahkan diri sendiri. Dan tindakan selanjutnya ialah belajar lebih gigih agar tidak mengulangi kesalahan yang sama.

Manakala bagi pihak ibu-bapa pula, janganlah terus menyalahkan guru atau masyarakat. Sebagai individu yang terapat dengan para remaja, tentulah pengaruh mereka lebih besar daripada mana-mana pihak dalam membentuk keperibadian anak-anak. Anak kita adalah hak kita dan Allah telah menetapkan bahawa kita adalah pencorak utama kepada akhlak mereka. Lupakah ibu-bapa kepada firman Allah ini:

Anak-anak dilahirkan suci bersih, kedua ibu-bapanyalah yang akan menjadikannya yahudi, nasrani atau majusi.

Jadi ibu-bapa yang baik tidak akan menyalahkan guru, masyarakat dan kerajaan atas kerosakan anak mereka. Sebaliknya, mereka akan memperbaiki diri dan mula mendidik anak mereka dengan terlebih dahulu mendidik diri sendiri!

Begitulah juga masyarakat, pihak sekolah, para pemimpin masing-masing hendaklah melihat dan bercermin pada hati nurani masing-masing. Apa akan jadi jika pemimpin menyalahkan rakyat dan rakyat pula menyalahkan pemimpin? Ingat-ingatlah, kita bukan bangau, kerbau atau ikan yang tidak punya akal fikiran. Allah sendiri mengiktiraf hak dan pilihan individu, maka atas dasar itu masing-masing akan ditanya mengikut peranan, kemampuan dan tanggung-jawab masing-masing. Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, hatta menyalahkan syaitan sekalipun! Jika kita terpedaya akan tipu-dayanya itu bukan salahnya, tetapi itu adalah salah kita Kenapa kita boleh ditipu? Rasulullah saw bersabda:

Setiap kamu adalah pengembala (pemimpin), dan setiap pengembala akan ditanya akan gembalaannya.

Terdapat juga segolongan masyarakat yang tidak mengambil kisah tentang apa yang berlaku di sekelilingnya. Golongan ini bersikap in-aktif yakni tidak ambil kisah atau tidak mahu ambil tahu langsung tentang apa yang berlaku dalam masyarakat. Katakanlah, jika dia melihat masalah remaja, dia mungkin kata, Biarkanlah, asalkan jangan terkena pada anak aku. Dia lebih rela bersikap tidak apa dengan apa yang telah berlaku. Hatinya buta, tidak prihatin dan tidak sensitif. Dia hanya menjaga kepentingan dirinya sahaja. Dia akan tercabar hanya apabila ada orang yang mengganggu tepi kainnya. Katakanlah, jika berlaku sesuatu tragedi buruk, dia akan berkata, Itu di negeri lain, bukan di negeri aku. Jika berlaku di negerinya, dia akan kata, Itu di negeri lain, bukan kampungku. Apabila terjadi di kampungnya, dia boleh kata, itu di kampung sebelah utara, saya kampung sebelah selatan. Bila dia sedar? Apabila terkena batang hidungnya, barulah dia tersentak dan meminta pertolongan orang lain. Individu yang in-aktif ini tidak sedar bahawa hakikatnya manusia umpama penumpang sebuah kapal yang besar, yang mana kebocoran di mana-mana tempat akan menenggelamkan seluruh kapal jika kebocoran itu tidak ditampal bersama-sama. Sikap in-aktif sebahagian masyarakat ini mengingatkan kita pada ungkapan Siluncai terjun dengan labu-labunya biarkan, biarkan.

Akhir sekali, bagi mengatasi masalah budaya reaktif Bangau oh bangau dan sikap in-aktif Siluncai terjun dengan labu-labunya maka kita perlulah bersikap berani. Berani mengakui kesalahan dan kelemahan diri. Berani menanggung risiko akibat pilihan dan perlakuan kita sendiri. Dan kemudian berani pula untuk memperbaiki kelemahan itu dengan meningkatkan ilmu, kemahiran dan sikap kita terhadap sesuatu perkara.

Kedua, kita perlu tahu akan kekuatan-kekuatan yang ada pada diri. Kita yakin pada kekuatan itu dan menambah serta mempertingkatkannya dari semasa ke semasa. Yakinlah setiap insan dilahirkan dengan keistimewaan masing-masing. Kita adalah unik dan terbaik dalam bidang-bidang tertentu. Kenali bidang itu dan terokailah dengan yakin. Bukankah bangau punya tengkuk yang panjang dan ikan mempunyai ketangkasan berenang dan menyelam? Dan dengan tengkuk yang panjang bangau boleh menyusup ke celah-celah rumput yang panjang dan dengan ketangkasan berenang dan menyelam ikan boleh timbul ke permukaan. Lihat pada apa yang ada, barulah kita bersyukur. Jangan dikenang apa yang tiada, nanti kita kufur

Tuesday, March 9, 2010

KISAH BURUNG PIPIT


Pada suatu hari, sebuah rumah di pinggir kampung terbakar. Seekor burung pipit membawa air menggunakan sayapnya. Seorang pemuda hairan melihat burung itu berulang-alik membantu memadamkan kebakaran….

Pemuda : Wahai burung pipit. Mengapakah engkau berulang-alik membawa air?

Burung : Aku ingin membantu memadamkan api yang sedang marak.

Pemuda : Tapi, tidakkah kau tahu bahawa sayap kau hanya mampu membawa dua titis air saja?

Burung : Aku tahu.

Pemuda : Tahukah kau bahawa titisan air yang kau bawa itu tak akan dapat memadamkan kebakaran itu?

Burung : Aku tahu wahai pemuda.

Pemuda : Tetapi mengapa kau masih berterusan berbuat begitu?

Burung : Sesungguhnya apabila Allah bertanya sama ada aku nampak atau tidak kebakaran itu. Aku akan jawab bahawa aku nampak kebakaran itu. Dan jika Allah bertanya apakah usaha aku untuk membantu. Lalu aku akan menjawab bahawa aku telah membawa titisan air menggunakan sayapku untuk membantu.

Pemuda : Wahai burung, sesungguhnya engkau adalah makhluk yang berjiwa mulia.

Moral : Jika kita mahu menolong seseorang, bantulah sekadar yang kita mampu dengan hati yang ikhlas dan kerana Allah tanpa mengharapkan sebarang balasan, sekurang-kurangnya kita ada menyumbang bakti.

TINGKAP

Dua orang lelaki, kedua-duanya sedang sakit, ditempatkan di sebuah bilik yang sama di satu hospital. Seorang dari mereka dibenarkan untuk menaikkan badannya dan duduk di atas katil selama satu jam setiap petang supaya dapat menyalur keluar bendalir dari dalam paru-parunya.

Katil lelaki itu terletak disebelah satu-satunya tingkap yang terdapat didalam bilik hospital tersebut. Lelaki yang seorang lagi pula terpaksa menghabiskan masanya dengan berbaring sahaja.

Mereka berbual-bual panjang akhirnya. Mereka bercerita mengenai isteri dan keluarga mereka, rumah mereka, pekerjaan mereka, penglibatan mereka didalam perkhidmatan tentera dan dimana mereka pernah bercuti.

Setiap petang bila mana lelaki di tepi tingkap itu dapat duduk, dia akan menghabiskan masa tersebut dengan bercerita kepada rakannya semua benda yang dapat dia lihat diluar tingkap itu. Rakannya itu mula hidup dan sentiasa menanti tempoh satu jam itu dimana dunianya akan berkembang dan hidup semula dengan segala aktiviti dan warna dunia diluar sana.

Tingkap itu menghadap ke sebuah taman yang mempunyai tasik yang indah. Itik dan angsa bermain-main dipermukaan air sementara kanak-kanak pula sibuk melayarkan bot mainan mereka. Pasangan kekasih berpegangan tangan di sebalik bunga-bungaan yang berwarna-warni dan kelihatan kelibat bangunan-bangunan tinggi pencakar langit di kejauhan. Semasa lelaki di tepi tingkap bercerita dengan panjang lebar pemandangan diluar itu, lelaki yang terbaring itu pula akan menutupkan matanya dan cuba membayangkan pemandangan tersebut.

Pada suatu petang yang nyaman, lelaki di tepi tingkap bercerita berkenaan satu perarakan yang sedang berlalu diluar. Walaupun lelaki yang terbaring itu tidak dapat mendengar apa-apa bunyi, namun dia dapat melihat semua itu melalui mata hatinya sepertimana gambaran terperinci yang diterangkan oleh lelaki ditepi tingkap.
Hari berganti hari dan minggu pun berlalu. Suatu pagi, ketika jururawat yang bertugas membawa air untuk mandian mereka tiba, dia mendapati lelaki ditepi tingkap sudah tidak bernyawa lagi, lelaki itu telah meninggal dunia dengan amannya semasa dia sedang tidur. Jururawat itu berasa sangat sedih dan memanggil pembantu hospital membawa mayat lelaki itu pergi.

Sebaik sahaja tiba masa yang sesuai, lelaki yang terbaring dikatil sebelah meminta kebenaran untuk dipindahkan ke katil disebelah tingkap. Jururawat dengan gembiranya melakukan perpindahan tersebut, dan setelah memastikan bahawa lelaki tersebut telah benar-benar selesa, meninggalkanya seorang diri.

Perlahan-lahan, didalam kesakitan, lelaki itu pun menolak badannya keatas dengan sebelah sikunya untuk melihat buat pertama kalinya dunia sebenar diluar. Dia menoleh perlahan-lahan kearah tingkap disebelah katilnya. Tingkap itu mengadap ke dinding kosong.

Lelaki itupun bertanya kepada jururawat, apakah yang telah mendorong rakannya yang telah meninggal dunia itu untuk bercerita tentang perkara-perkara yang indah diluar tingkap tersebut. Jururawat menjawap, bahawasanya lelaki itu sebenarnya seorang buta dan tidak mungkin dapat melihat dinding tersebut. Jururawat menyambung lagi, Mungkin dia cuma ingin memberi awak semangat.

KITA BUKAN KALA JENGKING





Tersebut sebuah kisah. Seorang tua sedang berjalan dipinggir taman. Dia terpandang seekor kala jengking yang tergapai-gapai didalam kolam. Jengking hitam sebesar ibu jari kaki itu berkisarkisar cuba memanjat tebing, tetapi setiap kali mencuba ia terjatuh semula kedalam air. Dibaluti rasa simpati, lelaki tua itu mencapai kala jengking, tapi belum sempat menyelamatkannya, haiwan tersebut menyengat jari lelaki tua. Sakitnya bukan kepalang. Anehnya lelaki tua itu tetap mencuba untuk menyelamatkan kala jengking tersebut keluar dari dalam kolam. Walau telah disengat lebih 4 kali.

Sejak dari tadi, seorang anak muda memerhati kan gelagat lelaki tua tersebut lalu bertanya kenapa pak cik tetap ingin menyelamatkan jengking ini? Dah berkali-kali jari pak cik disengatnya. Tapi pak cik masih jua terus nak mencuba. Kenapa?

Lalu kelaki tua itu tersenyum sambil menjawab nak, dengarkanlah.. menyengat memang sifat semulajadi seekor jengking. Tapi sifat semulajadi manusia ialah menyayangi. Kenapa harus kita korbankan sifat semula jadi kita kepada sifat semula jadi seekor haiwan?

Selepas berkata demikian, lelaki tua itu mencuba lagi untuk mengeluarkan kala jengking dari dalam kolam berkali-kali, hinggalah akhirnya berjaya.. lelaki tua itu tersenyum puas,. Walau pun bias sengatan jengking itu telah mula menular keseluruh tubuhnya

*****

setiap dari kita tentu saja pernah disengat samada oleh orang yang kita kenal dan sayangi atau rakan taulan. Pun begitu adakah kita mendiamkan diri atau kita juga bertindak menyengat mereka kembali.

Sebagai manusia kita akan mudah tersentuh dan bertindak untuk tidak memaafkan. Malah mungkin saja kita akan gembira bila mereka yang pernah mengainaya kita pula mengalami hal yang sama.

Namun hakikatnya memaafkan itu adalah satu tindakkan yang sangat tepat. Berdendam adalah tindakkan yang salah. Mereka yang merosakkan perasaan kita masih bergayut dan melekat dalam hati. Kita tersiksa bukan kerana mereka yang menyeksa jiwa kita. Tapi kerana kita masih membawa kisah lalu yang tidak lagi bermakna. Maka, maafkanlah mereka dan lepaskan memori duka itu dengan seikhlas hati.

Insyaallah kita akan meraih rasa lega dan tenang. Percayalah. Allah sekadar menduga dan melihat sekuat mana kita menghadapi sengatan dalam hidup sebagai manusia mampukah kita sembuhkan ia dengan kekuatan iman dan akal atau kekuatan nafsu dan amarah

Tepuk dada, tanya iman, tepuk dahi tanya akal,

Setiap Istana Ada Cacat Celanya Kecuali Satu


Seorang salih bercerita:

Ada Raja yang membangun sebuah istana yang sangat indah, serba serbinya cantik serta megah sekali. Selesai membangunkanya, Raja pun meresmikan bangunan indah itu dengan mengatur berbagai bagai acara acara kebesaran , dan tak ketinggalan dengan mengundang semua rakyat nya, dari orang orang atasan, seperti para menteri dan pengiring istana, hingga kepada orang orang bawahan seperti pekerja pekerja biasa, para pakir miskin dan sebagainya.

Mereka kemudian dijamu dengan beranika macam makanan dan minuman, yang bukan main nikmat dan enaknya. Untuk mempastikan keistimewaan istana itu Raja telah menempatkan beberapa penjaga disetiap pintu istana yang indah itu untuk bertanya kepada setiap para undangan yang memasukkannya akan keindahannya, kemegahan serta kekukuhan istana itu, apakah disana terdapat apa apa cacat meskipun yang paling kecil sekali pun.

Beribu ribu para undangan yang datang mengunjungi istana itu, dan apabila mereka ditanya tentang istana itu, ternyata jawapannya semua nya sama, iaitu ia adalah sebuah istana yang paling hebat, indah, megah dan kukuh, dan sama sekali tidak terdapat apa cacat pun walau pun yang terkecil sekali .

Sebentar lagi , tibalah pula serombongan orang orang tua yang bertampal tampalan bajunya memasuki istana itu. Para pejaga menjamu mereka dengan sempurna, kemudian tidak lupa bertanya kepada mereka tentang pendapatnya pada istana yang indah itu.

Terdapat dua cacat besar pada istana indah ini! salah seorang antara orang orang tua itu berkata. Apa kata kau? Ada dua cacat besar pada istana indah ini? Tanya penjaga istana itu dengan hairan. Benar, terdapat dua cacat besar didalam nya, jawabnya .

Penjaga istana itu lalu menahan sebahagian orang tua itu lalu membawa mereka mengadap Raja seraya berkata kepadanya :
Wahai paduka Raja! Hamba telah bertanya kepada ribuan orang akan kehebatan, kemegahan dan keindahan istana paduka. Semua orang mengatakan yang istana itu indah bangunanya dan sempurna, dan tidak ada suatu cacat pun padanya, meski pun yang terkecil. Bahkan mereka telah memuji mujinya setinggi langit. Tetepi apabila hamba bertanya kepada rombongan orang orang tua ini justeru mereka telah mengatakan ada dua cacat besar pada istana paduka itu.

Raja pun menganguk anggukkan kepalanya, kemudian bertanya: Wahai bapak bapak sekalian! Saya tak rela dengan cacat yang sekecil pun pada istana saya itu, tetapi bapak bapak telah menyebutkan dua cacat besar padanya, Nah , cubalah sebutkan kedua cacat itu, pinta Raja kepada orang orang tua itu.

Seorang dari orang orang tua itu menjawab ;
Bukankah istana indah ini pada akhirnya akan rusak?! Tanya seorang dari orang orang tua itu. Ya, benar katamu itu! jawab Raja. Itulah cacatnya yang pertama. Habis apa pula cacatnya yang kedua, Tanya Raja. Pemiliknya akan meninggal dunia, itu lah cacatnya yang kedua. Jawab orang tua yang lain.

Raja tercengang mendengar jawapan itu, dan mengakui akan kebenaran kata kata orang orang tua itu. Dia termenung sejenak, kemudian berkata kepada mereka:
Benar, dan sungguh benar jawapan bapak bapak, namun apakah ada istana yang tak rusak selama lamanya, dan pemiliknya tak kan mati seterusnya?’ Tanya Raja pula.

Orang orang tua itu hampir serentak tersenyum dan ketawa. Seolah olah mereka sudah menunggu soalan itu daripada Raja, dan mereka pun sudah ada jawapannya.

Ada, wahai paduka Raja, ada,’ jawab mereka serentak . Dimanakah dia ? Tanya raja
Di syurga! Syurga dan kenikmatannya tidak akan rusak buat selama lamanya, dan pemiliknya juga tidak akan mati seterusnya! jawab mereka lagi. Raja mengangguk anggukkan kepala.

Alangkah bahagianya sekiranya paduka dapat memperolihinya, sebab jalan untuk memperolihinya bagi paduka sangatlah terbuka luas, dan tidak sukar, tambah orang orang tua itu.

Cuba terangkan , bagaimana cara memperolihinya? Tanya Raja. Mudah saja! Paduka akan memperolihinya dengan beriman kepada Alah s.w.t. dengan menjalani semua perintah dan menjauhi segala yang tiada diperkenankan Nya. Sebaliknya jika paduka tidak mengerjakan semua itu, maka paduka pun akan menghadapi kecelakaan dan siksaan yang sangat pedih, iaitu yang berupa api neraka, kekal di sana yang kesakitannya tidak dapat dibayangkan, jelas mereka sekalian.

Baiklah, kalau begitu aku akan turuti segala nasihat bapak bapak dan akan aku tinggalkan yang selama ini akan aku pegang. Aku akan beriman kepada Tuhan Maha Esa , dan aku akan tinggalkan kursi kerajaan ini untuk bertaubat kepada Nya, balas Raja.

Raja itu benar benar melaksanakan segala apa yang diucapkannya. Akhirnya jadilah ia sebagai hamba Allah yang salih, taat sehingga keakhir hayatnya, dengan berkat ajakan hamba Nya yang salih.

Ya Allah! Berilah hamba Mu ini petunjuk dan hidayah Mu dalam mengarungi kehidupan ini. Amin!!!….

Monday, March 8, 2010

HORMATI GURU



SIKAP menghormati guru adalah amalan mulia dan sangat dituntut.

UNTUK cemerlang dalam pelajaran, insan paling bertanggungjawab membentuk pelajar ke arah itu adalah guru yang tidak pernah jemu memberi tunjuk ajar pada setiap masa.
Ilmu yang dicurahkan oleh guru amat penting bagi menjadikan seseorang itu insan berguna pada masa hadapan. Jadi, guru mesti dihormati kerana jasa mereka tidak akan terhitung oleh kita.
Pada asasnya, tugas hakiki seorang guru adalah mengajar di sekolah. Guru mendidik pelajar supaya menjadi manusia berguna kepada agama, bangsa dan negara.
Mereka juga merupakan ibu bapa kedua kepada pelajar memandangkan banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding di rumah.
Pelbagai cara boleh dipraktikkan untuk menghargai jasa guru yang tidak pernah jemu-jemu mencurahkan bakti tanpa mengenal erti jemu.
Guru tidak pernah meminta wang ringgit dan harta sebagai balasan. Cukuplah setiap pelajar menghormati mereka dengan mengucapkan selamat sejahtera apabila berjumpa.
Tidak salah kalau menyapa guru ketika berselisih di luar kawasan sekolah sekalipun.
Dengan cara itu, bukan sahaja dapat menunjukkan sikap menghormati guru, malah dapat mengeratkan lagi hubungan antara mereka demi kebaikan bersama.
Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara menyiapkan kerja sekolah. Mereka mesti menghantar kerja sekolah mengikut masa yang ditetapkan.
Jika terdapat kesalahan dalam latihan, guru akan membetulkannya. Dengan ini, pelajar dapat belajar daripada kesilapan.
Sikap dan disiplin diri seorang pelajar di sekolah juga adalah penting. Pelajar juga boleh menghargai guru dengan cara berdisiplin semasa di sekolah.
Secara tidak langsung, ini boleh menjadikan mereka lebih tekun dalam pelajaran dan seterusnya berjaya dalam hidup.
GURU bertanggungjawab mendidik anak bangsa mengenal apa yang baik dan buruk bagi mengharungi masa depan yang lebih bermakna.
Mereka juga perlu mematuhi peraturan sekolah. Sebagai contoh, mereka perlu datang awal ke sekolah dan tidak terlibat dalam gengsterisme, vandalisme, ponteng sekolah, melepak dan lain-lain. Oleh itu, jadilah pelajar yang berdisiplin.
Memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran semasa mengikuti pengajaran guru juga sebahagian tanda hormat dan penghargaan seseorang pelajar.
Dengan membuang masa dan membuat bising dalam kelas ketika guru sedang mengajar adalah tindakan yang menunjukkan pelajar tidak menghormati guru.
Jika sikap seperti ini berterusan dan tidak diperbetulkan, ia akan merugikan masa depan pelajar terbabit.
Sebelum terlambat, ubahlah sikap dengan berusaha sebaik mungkin menghormati dan mengenang jasa guru.
Jika di rumah, ibu bapa adalah insan yang perlu disayangi, manakala di sekolah pula guru umpama ibu bapa. Jadi, sebagai pelajar, anda boleh menunjukkan kasih sayang kepada guru.
Ia boleh dilakukan dengan dengan membawa buku-buku ke bilik guru, selain memberi hadiah tanda ingatan semasa sambutan Hari Guru.
Namun, apa lebih penting guru akan rasa dihargai apabila pelajar dapat meluangkan masa untuk menziarahi mereka ketika terlantar sakit. Mereka akan berasa disayangi dan diingati sepanjang masa.
Sesungguhnya, guru ibarat lilin yang sanggup membakar diri dan menerangi hidup orang lain.
Lagipun, guru telah berjaya melahirkan generasi yang cemerlang, gemilang dan terbilang.
Janganlah jadi salah seorang yang merugikan masa depan sendiri. Tepuk dada tanya selera. - NUR AISHAH MOHD. AMIN
Kredit to KOSMO Online